KEGANASAN RUMAHTANGGA TERHADAP SI SUAMI
Catatan oleh Samry Masri
2 Jun 2022
Catatan oleh Samry Masri
2 Jun 2022
Membaca berita tentang kemenangan Johny Depp dalam saman fitnahnya terhadap Amber Heard mengingatkan kami tentang suatu kes jenayah yang pernah kami kendalikan sebelum ini.
Anakguam kami adalah merupakan bekas suami pengadu. Beliau dituduh di bawah Seksyen 323/326A kerana dituduh mencederakan pengadu.
Walaubagaimanapun, semasa bicara dan melalui soal balas kami berjaya membuktikan bahawa sebenarnya si pengadulah yang datang ke tempat kerja anakguam kami, membuat "scene" sehingga menyebabkan anakguam kami terpaksa menarik pengadu ke tempat yang terlindung bagi mengelakkan perhatian orang ramai.
Seterusnya, melalui soal balas kami berjaya membuktikan bahawa si pengadulah yang sebenarnya memukul anakguam kami berkali-kali sehingga anakguam kami terpaksa menolak pengadu. Pengadu terjatuh dan lebam dibahagian punggung.
Malangnya apa yang berlaku selepas itu si pengadu terus membuat laporan polis mengatakan beliau dipukul dan disepak oleh anakguam kami. Punggung pengadu yang lebam diambil gambar oleh pihak polis dan dijadikan sebagai bahan bukti kecederaan pengadu (gambar ini kemudiannya dikemukakan di Mahkamah).
Sehubungan laporan pengadu, anakguam ditangkap, direman beberapa hari dan kemudiannya dituduh di Mahkamah. Alhamdulillah, akhirnya Mahkamah melepas dan membebaskan anakguam kami di akhir kes pendakwaan.
--------
Apa yang cuba kami sampaikan adalah kes-kes keganasan rumahtangga sebenarnya bukan terhad kepada keganasan lelaki ke atas wanita semata-mata, tetapi juga berlaku disebaliknya. Malangnya, pihak lelaki biasanya enggan membuat laporan kerana bimbang dituduh dayus, lemah dan bimbang dimalukan orang orang disekeliling. Pihak berkuatkuasa juga agak skeptikal terhadap laporan yang dibuat oleh pihak lelaki berbanding pihak wanita.
Seksyen 326A tidak dihadkan ke atas keganasan ke atas wanita semata-mata tetapi juga terpakai ke atas keganasan rumahtangga terhadap lelaki. Seksyen ini juga tidak terhad ke atas kecederaan parah tetapi terpakai juga ke atas perbuatan-perbuatan yang tidak mencederakan seperti tamparan dan pukulan.
Kes Johny Depp ini mungkin akan menjadi pendorong kepada lebih ramai pihak lelaki untuk tampil membuat laporan terhadap pihak wanita sekiranya berlaku kejadian seumpamanya. Bagi wanita, nasihat kami berhati-hatilah kerana zaman lelaki mendiamkan diri mungkin sudah tiba penghujungnya. Seksyen 326A bukanlah suatu kesalahan yang boleh diambil ringan kerana hukuman yang diperuntukkan adalah wajib penjara.
Berkasih sayanglah antara satu sama lain dan berpisahlah dengan baik sekiranya anda tidak lagi boleh bersama. Jangan sesekali mengasari pasangan anda atau anda akan berdepan hukuman penjara sekiranya sekiranya disabitkan kesalahan.
Wallahualam
2 Jun 2022