HUKUMAN MATI MANDATORI
Catatan oleh Samry Masri
13 Jun 2022
Catatan oleh Samry Masri
13 Jun 2022
Membaca komen-komen di ruangan komen berita tentang tiga sahabat yang dijatuhi hukuman gantung , kami merasakan ramai yang sebenarnya keliru dengan pengumuman kerajaan tentang pemansuhan hukuman mati sepertimana yang diumumumkan baru-baru ini.
Semoga penulisan ini dapat memberikan penjelasan kepada semua.
-------------------
Berdasarkan pengumuman kerajaan tersebut, hukuman mati adalah TIDAK dimansuhkan sepenuhnya. Apa yang DICADANGKAN untuk dimansuhkan hanyalah hukuman mati mandatori dalam pelbagai kesalahan yang ditetapkan di bawah undang-undang negara.
Hukuman mati mandatori bermaksud, apabila seseorang tertuduh di dapati bersalah, maka Hakim TIDAK mempunyai pilihan kecuali menjatuhkan hukuman mati. Dengan CADANGAN ini, sekiranya DILULUSKAN, Hakim akan mempunyai budibicara samaada masih ingin menjatuhkan hukuman mati atau menjatuhkan hukuman lain setelah meniliti fakta kes dan faktor-faktor mitigasi tertuduh.
Buat masa ini, pengumuman kerajaan tersebut hanyalah merupakan suatu CADANGAN yang masih belum mempunyai kuatkuasa undang-undang. Cadangan tersebut memerlukan pindaan dibuat ke atas pelbagai undang-undang sediada dan rang undang-undang pindaan tersebut perlu dibentangkan terlebih dahulu di Parlimen untuk diundi dan diluluskan sebelum dibentangkan semula di Dewan Negara untuk kelulusan. Ianya kemudiannya perlu diperkenan oleh YDPA dan digazetkan.
Kami juga berpendapat cadangan tersebut, sekiranya diluluskan tidak akan mempunyai kesan retrospektif dan mereka yang telah dijatuhi hukuman mati sebelum ini akan tetap perlu menjalani hukuman mereka. Ini berbeza dengan pemansuhan hukuman mati sama sekali.
Selagi CADANGAN kerjaan ini belum berkuatkuasa di segi undang-undang, tertuduh yang sedang menghadapi pertuduhan atau sedang dibicarakan masih berkemungkinan dijatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya didapati bersalah diakhir perbicaraan.
Wallahualam
13 Jun 2022